SITUASI: Ada masanya, anak buah ataupun orang bawahan melawan dan tidak mahu buat perkara yang disuruh oleh ketua. Dalam situasi seperti itu, apakah yang ketua perlu lakukan terhadap anak buah yang melawan cakapnya. Perlukan ketua mengambil tindakan tatatertib ke atas anak buahnya itu?
Nabi Muhammad adalah seorang ketua. Anak-anak buahnya adalah manusia biasa. Ada masanya, anak buahnya melawan cakapnya dan tidak mahu buat perkara yang disuruh.
1. Peristiwa ‘Ali Tidak Patuh Arahan’
Dalam koleksi hadith oleh Imam Muslim ada catatan di mana Abu Ishaq melaporkan dia mendengar Al Bara’ bin Azib berkata, “Ali bin Abi Thalib menuliskan dokumen perjanjian damai yang akan ditandatangani oleh Nabi dan orang-orang musyrik Mekah di Hudaibiyah. Ali menuliskan ayat, ‘Inilah perjanjian yang ditulis oleh Muhammad Rasulullah.’ Orang-orang musyrik membantah ayat itu, kata mereka, “Jangan ditulis Rasulullah! Andainya kami iktiraf kamu sebagai Rasulullah, tentu kami tidak memerangi kamu.” Maka Nabi berkata kepada Ali, “Padam perkataan itu.” Ali menjawab, “Saya takkan memadamnya.” Lalu dengan tangannya sendiri Nabi padam perkataan itu. Menurut Al Bara’, kandungan perjanjian itu antara lain menetapkan kaum muslimin boleh masuk dan tinggal di kota Mekah selama tiga hari. Mereka tidak boleh membawa senjata, kecuali dalam keadaan tersarung.”
ANALISIS: Dalam peristiwa itu Nabi sebagai ketua tidak cakap apa-apa kepada Ali walaupun Ali melawan arahan ketua. Peristiwa itu berlaku dalam konteks berikut:
i. Ali melawan arahan ketuanya di hadapan khalayak. Waktu itu ada banyak orang lain berada di situ.
ii. Ali emosional waktu itu. Arahan yang Ali lawan itu adalah perkara yang membuat dia emosional, yakni Ali tidak mahu buat arahan ketuanya kerana perkataan yang disuruh padam itu adalah hasil pekerjaannya. Dia yang tulis perkataan itu.
Dalam peristiwa itu Nabi tunjukkan:
i. Apabila anak buah lawan arahan ketua di hadapan orang-orang lain, ketua diam sahaja. Ketua tidak tegur anak buah itu.
ii. Sebagai ketua, tindakan Nabi waktu itu adalah, apabila Ali tidak mahu buat perkara yang diarahkan, Nabi diam sahaja dan Nabi buat sendiri perkara itu. Ali tidak mahu padam, jadi Nabi padam sendiri.
2. Peristiwa ‘Anas Budak Suruhan Nabi’
Dalam koleksi hadith oleh Imam Muslim ada catatan di mana Anas yang pernah menjadi budak suruhan Nabi melaporkan Nabi pernah menyuruh dia pergi melakukan sesuatu pekerjaan. Dia berkata kepada Nabi, “Demi Allah, saya tidak mahu pergi.” sedangkan dalam hatinya dia berkata dia akan pergi juga sebab yang menyuruhnya itu adalah Nabi Allah. Anas pun pergilah, sesampaikan di pekan dia terjumpa dengan sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain-main. Tiba-tiba Nabi memegang tengkuknya dari belakang. Anas memandang beliau, dan beliau memandang Anas sambil senyum. Kemudian Nabi berkata, “Wahai Unais, apakah kamu akan pergi sebagaimana yang saya suruh?” Anas menjawab, “Baik, saya pergi sekarang, ya Rasulullah.” Menurut Anas, dia menjadi pembantu peribadi kepada Nabi selama 9 tahun. Dia tidak pernah mendengar Nabi mengkritik kerja-kerjanya seperti berkata, “Kenapa kamu buat macam itu, macam itu….” Menurut Anas lagi, Nabi juga tidak pernah komplen kerja-kerja yang tidak dibuatnya, seperti berkata, “Kenapa kamu tidak buat itu dan tak buat ini….”
ANALISIS: Dalam peristiwa itu, Anas adalah seorang remaja yang masih muda, waktu itu usianya masih awal remaja. Dalam peristiwa itu Nabi menununjukkan, apabila anak-anak yang masih remaja awal buat macam-macam hal, ketua tidak marah, tidak komplen, tidak tegur sikapnya.
3. Peristiwa ‘Nabi Ikut Cadangan Ummu Salamah’
Dalam koleksi hadith Imam Bukhari ada catatan di mana Miswar bin Makramah melaporkan suatu peristiwa yang berlaku selepas dokumen Perjanjian Hudaibiyah dimeterai. Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad menyuruh anak-anak buahnya supaya menyembelih haiwan korban dan bercukur. Dalam laporannya itu, Miswar bin Makramah berkata: Selepas selesai memeterai perjanjian, Nabi berkata kepada sahabat-sahabatnya, “Berdirilah!” Tiada seorang pun yang berdiri. Sampai beliau ulang tiga kali. Apabila tidak ada seorang pun sahabat Nabi yang berdiri, beliau pun masuk ke tempat isterinya yang bernama Ummu Salamah lalu beliau ceritakan apa yang berlaku. Ummu Salamah berkata, “Wahai Nabi Allah, apakah itu yang kekanda mahu mereka lakukan? Kekanda keluarlah. Jangan kekanda bercakap sepatah pun kepada sesesiapa pun. Kekandalah mulakan dengan menyembelih korban kekanda. Dan kekanda panggillah tukang cukur supaya mencukur rambut kekanda. Nabi pun keluar. Beliau tidak bercakap walau sepatah pun kepada sesiapa. Beliau sembelih korban beliau, dan memanggil tukang cukur lalu dicukurnya rambut beliau. Apabila mereka tengok apa yang berlaku mereka pun berdiri lalu menyembelih korban mereka, dan mencukur rambut sesama mereka.
ANALISIS: Dalam peristiwa itu, mula-mula Nabi Muhammad cuma menyuruh sahabat-sahabat menyembelih korban dan bercukur, mereka tidak buat, sampai tiga kali Nabi suruh, masih mereka tidak buat. Apabila Nabi sendiri buat, baru mereka ikut buat. Peristiwa itu menunjukkan pentingnya peranan kepimpinan melalui teladan.
APLIKASI
Sebagai ketua, apabila sekali sekala berlaku kes di mana anak buah ataupun orang bawahan tidak mahu buat perkara yang diarahkan, lakukan ini:
1. Apabila anak buah itu tidak mahu buat dan dia sedang emosional, ketua diam sahaja.
2. Apabila anak buah itu tidak mahu buat perkara yang diarahkan di hadapan orang-orang lain, ketua diam sahaja. Ketua buat sendiri.
3. Apabila ketua suruh semua anak buat perkara yang diarahkan, ketua diam sahaja, cuba minta pendapat orang lain apa yang perlu dilakukan supaya anak-anak buah mahu buat arahan itu.
4. Apabila anak buah yang disuruh itu adalah kanak-kanak, ketua diam sahaja.
Penutup
Dalam peristiwa-peristiwa yang di atas itu, Nabi menunjukkan penting ketua mempunyai EQ yang tajam dalam mengurus tingkah laku anak-anak buah dan orang bawahannya. Nabi tunjukkan pentingnya ketua mampu mengawal tingkah lakunya sendiri. Lazimnya ketua sakit hati apabila arahannya tidak dilaksanakan oleh anak-anak buah ataupun orang bawahnnya. Dalam keadaan biasa ketua-ketua anggap perbuatan macam itu sebagai layak dikenakan tindakan disiplin kerana ia adalah kesalahan melanggar arahan ketua.

Jika Puan-Puan mahu belajar cara memberi arahan yang berkesan, boleh belajar di sini.
