Menurut Dr. Melanie Greenberg, seorang ahli psikologi, otak manusia cuma mampu menyimpan empat maklumat dalam memori jangka pendeknya. Itu sama dengan percakapan selama 30 saat sahaja, ataupun sepotong ataupun dua potong ayat sahaja. Laporan Dr. Melanie Greenberg itu dapat dibandingkan dengan leteran. Leteran lebih panjang daripada 30 saat, sudah tentu lebih daripada dua potong ayat. Bermakna, leteran adalah tidak berkesan, biar apa sekalipun tujuannya. Ada kajian lain dalam bidang neurosains yang melaporkan, apabila perempuan sedang membebel dan bergaduh dengan suami ataupun anak-anaknya, otaknya mengeluarkan kimia-kimia yang sama dengan kimia yang keluar dalam otak pesakit yang diserang sawan.
Perangai suka membebel di rumah boleh terbawa-bawa sampai ke tempat kerja. Seseorang yang membebeli suami dan anak-anaknya di rumah, di tempat kerjanya dia juga membebeli orang-orang bawahan ataupun pekerja-pekerjanya. Perangai membebel di tempat kerja mempunyai kaitan dengan kadar keluar masuk pekerja. Makin kuat tabiat membebel si majikan, makin laju kadar keluar masuk pekerjanya.
Antara ahli psikologi yang mengkaji dan menulis tentang perangai membebel adalah Dr. Robert Myers. Beliau menerangkan mengapa membebel mencipta kesan-kesan buruk ke atas diri si pembebel sendiri dan ke atas orang yang kena bebel.
1. Perangai membebel menimbulkan kebencian orang-orang yang kena bebel. Orang yang kena bebel berasa bosan, sakit hati, stress, marah, dan lama-lama menjadi benci. Dalam bisnes, pekerja yang kena bebel takkan tahan lama, dia akan berhenti.
2. Likeabiliti si pembebel jatuh. Orang tidak suka pada si pembebel. Pekerja yang tidak suka pada majikannya yang membebel, mereka takkan mahu membuat kerja dengan lebih rajin, lebih bersungguh-sungguh. Mereka buat kerja cukup-cukup saja, asalkan tidak kena bebel.
3. Social beauty si pembebel rosak dan cacat. Di mata orang yang kena bebel, dia tengok muka si pembebel itu buruk. Walaupun si pembebel itu mungkin mempunyai kelulusan tinggi, tetapi di mata orang yang kena bebel, dia tengok si pembebel itu bodoh, bercakap serupa macam orang bodoh.
4. Orang yang kena bebel tutup telinganya. Dia tidak mahu dengar benda yang sama diulang-ulang, lalu mereka buat pekak saja. Mereka diam menahan perasaan. Tunggu masa hendak cabut saja.
5. Orang yang kena bebel berasa dirinya berada di bawah telunjuk si pembebel. Dia rasa dirinya di bawah kawalan si pembebel. Tidak ada orang suka berasa macam itu. Makin dibebeli, makin dia tidak suka, makin hatinya melawan. Tujuan si pembebel membebel adalah dia mahu mengawal, mahu cakapnya dipatuhi, mahu menekan, mahu memaksa, mahu menang, mahu berkuasa.
6. Membebel cuma menggunakan air liur. Lama-lama orang yang dibebeli tahu apa dia patut buat apabila si pembebel mula membebel. Lama-lama si pembebel pun berhenti membebel.
7. Membebel adalah perangai suka mencari salah silap orang. Otak si pembebel fokus nak cari perkara-perkara yang salah, yang silap, yang tak dibuat, yang tak betul, yang tak disukainya, yang menyakitkan hatinya.
8. Orang yang dibebeli berasa air mukanya tidak dijaga. Dia berasa si pembebel tidak menghormati dirinya. Dia rasa dirinya dibuat macam tak ada maruah. Dia berasa dirinya tidak dihargai, hasil kerjanya tidak dihargai. Dia rasa macam langsung tak berguna kepada si pembebel.
9. Orang yang dibebeli akan mencari jalan menjauhi si pembebel. Dia cari alasan supaya tidak perlu berada di depan si pembebel, supaya dia boleh berada di tempat lain.
Dalam konteks perkahwinan, ada hasil kajian yang melaporkan perangai membebel meracuni kasih sayang dan kemesraan. Lelaki yang dibebeli oleh isterinya berasa dia tidak dilayan macam seorang suami dan macam pasangan cinta. Sebaliknya dia berasa dirinya dilayan macam anak.
Menurut laporan itu lagi, pasangan-pasangan yang mengalami masalah bebelan, mereka kurang kerap intim dan tidak puas dengan kualiti intim mereka. Dalam laporan kajian lain (di US), perangai kuat membebel adalah punca utama konflik rumahtangga dan perceraian. Dikatakan risiko tabiat membebel adalah sama seriusnya dengan risiko perbuatan curang.
Dalam dunia bisnes, perbuatan membebel merosakkan hubungan baik antara majikan dan pekerja. Apabila pekerja mendengar majikannya membebel hatinya sakit, otak pun sakit, dada terasa berat, lalu semangat kerjanya jatuh dan produktivitinya ikut jatuh.
Salah satu tujuan si pembebel membebel adalah dia mahu mengawal orang yang dibebelinya. Apabila orang itu melawan, tidak mahu ikut cakapnya dia membebel dengan lebih panjang, lebih keras. Dia membebel sambil marah-marah, menekan-nekan, memaksa-maksa. Apabila itu pun tak jalan, dia mengugut, dia mengancam.
Majikan yang berleter percaya dengan berleter dia dapat membetulkan pekerjanya yang selalu buat silap. Niatnya baik, dia mahu pekerjanya yang bodoh menjadi pandai. Si majikan tahu pekerjanya tidak suka dileteri.
Dia sangka jika tak suka dileteri tentulah pekerjanya akan betulkan kesilapannya supaya tidak dileteri lagi. Apakah betul andaian macam itu? Ahli-ahli psikologi mengatakan, tidak. Leteran adalah teguran. Tujuan teguran adalah menunjukkan di mana pekerja itu masih bodoh, masih tak pandai buat kerjanya, masih selalu lupa, masih tak buat macam yang disuruh.
Pakar-pakar psikologi mengatakan seseorang yang selalu ditegur akan berasa macam dia tak kompeten, yakni dia rasa bodoh, tak mampu, tak pandai menjalankankan tugas-tugasnya. Orang yang yakin dirinya tak kompeten dengan sendiri akan menjadi tidak kompeten, akibatnya dia banyak buat silap.
Disebabkan dia selalu ditegur, dia pun selalu bertanya, minta pendapat. Dia tidak berani berfikir sendiri. Dia tidak berani mencuba cara-cara baru, tidak berani membuat keputusan sendiri. Akibatnya, dia betul-betul menjadi pekerja yang tak boleh diharap, tak boleh nak ditinggalkan biar dia buat kerjanya sendiri, alias dia benar-benar menjadi pekerja bodoh pada pandangan majikannya yang kuat berleter itu.
JEMPUT DAFTAR PRIVATE CIRCLE KETUA PEREMPUAN

